News From : DagangHalal.com (20 Oct 2010)
Negeri Sembilan dipilih sebagai destinasi terakhir tahun 2010 untuk mengadakan Kempen 1Malaysia 1Halal (1M1H) pada 15 – 17 Oktober 2010. Kempen edisi ke-4 tersebut diadakan di Kompleks Belia dan Sukan Paroi, Negeri Sembilan adalah anjuran Kerajaan Negeri Sembilan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Negeri, yang terkenal dengan pelbagai adat istiadat ini berjaya menarik lebih 30,000 pengunjung dari dalam dan luar negara.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan telah merasmikan Kempen 1M1H pada kali ini. Beliau yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba memanipulasi pensijilan halal demi meraih keuntungan. Tindakan undang-undang boleh dikenakan kepada pengusaha yang melanggar peraturan yang telah ditetapkan. Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hasan, Timbalan Ketua Pengarah JAKIM, Abdul Halid Sintol, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Johani Hassan dan Pengarang Kosmo!, Baharum Mahusin.
Kempen 1M1H menjadi platform bagi melonjakkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penggunaan produk halal sekaligus mengembangkan industri halal Malaysia ke peringkat global. Selain itu, kempen berkenaan juga dapat memberi ruang dan peluang kepada pengusaha produk halal memperkenalkan barangan halal bukan sahaja berkaitan makanan bahkan produk kecantikan dan kosmetik.
Antara aktiviti menarik pada kempen kali ini ialah seminar halal, klinik usahawan, sesi jaringan bisnes, pemeriksaan kesihatan, klinik Al-Quran, permainan tradisional, pertandigan bercerita, forum perdana, festival nasyid, dekorasi kek, malam ukhuwah dan pameran-pameran keusahawanan daripada lebih 70 pengusaha yang mengambil bahagian seperti DiGi, Mamee, Yakult dan pengusaha industry kecil dan sederhana. JAKIM di wakili oleh bahagian Hab Halal, Bahagian Penyelidikan dan Bahagian Penerbitan telah mendapat sambutan yang hangat daripada pengunjung.
Di kesempatan ini, JAKIM mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat sebagai penganjur iaitu Dagang Halal.com, KOSMO, Majlis Agama Islam N.Sembilan, International Halal Integrity Alliance (IHI), Halal Development Corporation (HDC) , Institut Pembangunan Pengurusan Johor (IPPJ), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Polis Diraja Malaysia (PDRM) N.Sembilan, Jabatan Kerjaraya (JKR) N.Sembilan, Jabatan Kesihatan N.Sembilan, Majlis Perbandaran Seremban (MPS) yang banyak bertungkus lumus bagi melancarkan kempen tersebut.
– JAKIM