Home » PENENTAPAN HARI RAYA KORBAN 1430 H DI MALAYSIA

PENENTAPAN HARI RAYA KORBAN 1430 H DI MALAYSIA

News From : DagangHalal.com (25 Nov 2009)

Berdasarkan rekod cerapan anak bulan Zulhijjah 1430 H di 29 tempat cerapan rasmi di Malaysia oleh Jabatan Mufti Negeri-negeri di Malaysia pada 29 Zulkaedah 1430H bersamaan 17 November 2009 (Selasa), dengan ini adalah anak bulan tidak kelihatan di kesemua tempat cerapan tersebut.

Walaubagaimanapun kedudukan hilal  telah memenuhi kriteria ketetapan Imkanur rukyah  yang telah dipersetujui bersama oleh Anggota Menteri-menteri Agama Negara Brunei Darusslaam, Republik Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS) berdasarkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Rukyah dan Takwim Islam kali Ke -3 pada 29 Zulkaedah 1412 bersamaan 1 Jun 1992 Labuan telah bersetuju menerima pakai Kriteria Imkanur-rukyah seperti berikut:

“Hilal dianggap boleh kelihatan apabila kiraan memenuhi salah satu daripada syarat-syarat berikut:

a. Ketika matahari terbenam, ketinggian bulan tidak kurang daripada 2° dan jarak lengkung bulan-matahari tidak kurang 3°,

ATAU

b. Ketika bulan terbenam, umur bulan tidak kurang daripada 8 jam selepas ijtimak berlaku.”

Oleh yang demikian, keesokan harinya iaitu 18 November 2009 (Rabu) di tetapkan sebagai 1 Zulhijjah 1430 H dan 10 Zulhijjah 1430 H iaitu hari raya Qurban ditetapkan pada 27 November 2009 (Jumaat).

Kriteria Imkanur-rukyah (Kebolehnampakan) ini telah diterimapakai bagi keseluruhan bulan-bulan qamariah termasuk Zulhijjah untuk mensabitkan Hari Raya Korban bermula 1993.

Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan cara penentuan awal Ramadhan, Syawal, Zulhijjah dengan kaedah berikut:

1. rukyah (melihat hilal)
2. hisab falak
3. rukyah dan hisab dengan menggunakan Kriteria Imkanur-rukyah iaitu menggunakan hisab dalam menentukan kebolehnampakan hilal.

Tarikh melihat hilal dan penentapan tarikh berpuasa dan berhari raya yang telah diperkenankan oleh Raja-Raja diisytiharkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja melalui media massa dan elektronik menjelang tibanya tarikh berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *